TAJUK KEDUA PULUH LIMA: PERKAHWINAN
DAN KELUARGA SAKINAH MENURUT PERSPEKTIF ISLAM
firman Allah swt yang bermaksud:
Maksudnya: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.
(Surah al-Rum:21)
Konsep Perkahwinan Menurut Islam:
Kahwin atau
nikah menurut bahasa ialah bersatu atau berkumpul. Manakala pada istilah pula
bermaksud akad yang sah yang menghalalkan istimta’ di antara lelaki dan
wanita dengan cara yang dibenarkan syarak.
Perkahwinan
merupakan sunnah para nabi dan rasul dan menjadi satu ibadah yang suci. Perkahwinan
adalah satu-satunya jalan yang dihalalkan syariat untuk manusia memenuhi
keinginan seks kepada pasangan masing-masing. Ini kerana manusia secara
fitrahnya diciptakan oleh Allah mempunyai naluri dan keinginan seks apabila
sampai tahap umur tertentu. Cuba kita bayangkan jika Syariat Islam tidak
membenarkan perkahwinan dan menghalang
manusia hidup berpasangan. Sudah tentunya manusia akan dilanda kebinasaan dan
kehancuran. Mana mungkin mereka boleh meneruskan kelestarian zuriat dan pembelaan kepada anak-anak yang
dilahirkan hasil hubungan seks antara pasangan tanpa jalan perkahwinan yang sah.
Justeru itu,
Perkahwinan sememangnya menjamin semua pihak. Melalui perkahwinan Islam telah
menetapkan hak-hak yang perlu ditunaikan iaitu suami bertanggungjawab terhadap
isteri dan anak-anak, isteri mesti melaksanakan tanggungjawab terhadap suami
dan anak-anak dan si anak pula perlu menghormati dan mentaati ibu bapa. Semua
ini merupakan kerukunan dan peraturan yang telah ditetapkan oleh syariat bagi
mencapai kebahagian dan matlamat perkahwinan.
Setiap pasangan yang
berkahwin menginginkan kebahagian dalam rumah tangga. Institusi keluarga
menjadi kunci utama kebahagiaan seseorang individu. Kebahagian rumah tangga bukan
hanya terletak kepada kekayaan harta benda atau material semata-mata. Keluarga
bahagia menurut Islam adalah sebuah keluarga yang menjalani kehidupan
berlandaskan akidah dan syariat Islam, yang
menjunjung Islam sebagai cara hidup dan yang sentiasa mentaati perintah Allah
s.w.t dan rasulNya sehingga mereka
menikmati keberkatan, sakinah, mawaddah
dan rahmah dalam kehidupan.
Agama menjadi
faktor terpenting dalam menentukan kebahagian rumah tangga. Apabila agama ditinggal atau diabaikan maka
akan berlakunya kepincangan dan pergolakkan antara suami isteri. Tanpa agama
suami akan lupa tanggungjawab sebagai ketua keluarga, isteri pula sering
menderhakai suami dan anak-anak yang tidak taat kepada ibu bapanya. Hukum hakam
tidak diperdulikan, segala hak dan tanggungjawab dilanggari sehingga akhirnya
runtuhnya sebuah institusi keluarga yang diimpikan selama ini.
Tanda-tanda keluarga sakinah(bahagia) menurut perspektif Islam:
1. Isteri yang solehah
Wanita solehah
adalah idaman setiap lelaki. Seorang isteri solehah mampu memberikan kebahagian
dalam kehidupan keluarganya. Isteri yang solehah akan patuh kepada suaminya, penyabar, taat kepada
perintah Allah s.w.t, mendidik anak-anaknya dengan ajaran agama, sentiasa
menjaga maruah diri dan ahli keluarganya, dan tidak membuka keaiban suaminya.
Sesungguhnya kedudukan wanita solehah lebih mulia berbanding dengan harta dunia yang lain. Nabi s.a.w bersabda:
الدُّنْياَ مَتاَعٌ
وَخَيرُ مَتَاعِ الدُّنْيَا الـمَرْآةُ الصَّالِحَةُ
Maksudnya: “Dunia ini adalah
perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia ialah perempuan yang solehah.”
(Hadis
riwayat Muslim)
Oleh karena itu,
Islam mengutamakan pemilihan ciri-ciri calon isteri dari sudut agamanya
sebelum melihat rupa paras, harta dan
keturunannya. Sabda Nabi s.a.w:
تُنْكَحُ المَرْآةَ
لِأَرْبَعٍ: لـِمَالِهَا وَلِحَسَبِهَا وَلِجَمَالِهَا وَلِدِيْنِهَا فَاظْفَرِ بِذَاتِ
الدِّيْنِ تَرِبَتْ يَدَاكَ
Maksudnya:Kahwinilah
perempuan itu kerana empat perkara kerana hartanya, kerana nasabnya dan kerana
kecantikannya, kerana agamanya. Maka
hendaklah kamu
pilih kerana agamanya sebab kalau
tidak demikian, nescaya kamu akan celaka”
(Hadis
Muttafaqun ‘alaih)
2. Ahli keluarga
yang damai dan aman (penuh ketenangan)
Keluarga yang
sakinah adalah yang memilik ketenangan, kedamaian dan keamanan. Bagi mencapai
keluarga sakinah, rumah tangga perlu menjalani kehidupan berlandaskan prinsip
keimanan dan ketakwaan, saling menyayangi antara satu sama lain, menerima kekurangan
masing-masing dan saling lengkap-melengkapi. Suami isteri mesti berbincang dalam
menyelesaikan permasalahan dan bantu-membantu dalam melaksanakan tanggungjawab
masing-masing. Anak-anak yang mentaati ibu bapanya dan mempunyai akhlak yang
baik dan mulia. Jauh sekali dari kehidupan yang kacau bilau, bertengkar dan
saling benci membenci antara ahli keluarga. Benarlah kata pepatah: “Bersatu
kita teguh bercerai kita roboh”.
3. Anak-anak yang
berakhlak mulia
Anak-anak penyeri kepada
rumah tangga dan penyejuk mata kepada setiap ibu bapa. Anak-anak yang
lahir dan dididik dengan ilmu agama
semenjak kecil akan membesar dan tumbuh
menjadi generasi rabbani yang hebat. Pembentukan ahlak dan keperibadian yang luhur bermula dari rumah. Justeru itu, ibu bapa
perlu menjadi contoh dan tauladan kepada anak-anak. Anak yang soleh dan solehah
akan menjadi kebanggaan orang tuanya di
dunia dan dapat
memberi kebaikan kepada ayah dan ibunya di akhirat nanti. Sabda Nabi s.a.w:
إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ
عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثٍ: صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ،
أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
Maksudnya: “Apabila matinya seorang manusia, maka
terputuslah amalnya kecuali tiga perkara: sedekah jariyah, ilmu yang
bermanafaat, anak yang soleh yang berdoa untuk kepadanya”
(Hadis riwayat
Muslim).
4.Keluarga yang mendapat keberkatan
Antara ciri-ciri
keluarga bahagia adalah keluarga yang barakah. Sesungguhnya ukuran keberkatan
itu ialah rezeki yang halal, mencukupi lagi berkat, suami isteri yang saling
bertoleransi dan rajin beribadah, anak-anak yang mentaati Allah dan RasulNya
serta berjaya dalam kehidupannya, tangan yang tidak kedekut untuk bersedekah
dan tidak lupa bersyukur pada Allah s.w.t. Selain itu, keberkatan seseorang
juga boleh dilihat dari sudut umur dan waktu yang digunakan hanya untuk perkara
yang bermanafaat dalam kehidupannya. Oleh yang demikian, amatlah salah jika keberkatan itu diukur pada harta yang
melimpah ruah, rumah yang tersegam indah, kenderaan yang mewah, pangkat yang
tinggi, umur yang panjang tapi lalai dan leka.
5. Keluarga yang mawaddah
Mawaddah membawa
maksud rasa cinta-mencintai. Keluarga yang mawaddah adalah keluarga yang
dinaungi dengan perasaan cinta hanya kerana Allah dan penuh pengharapan.
Apabila suami isteri saling berkasih sayang, maka insyaallah rumah tangga yang
dibina akan terasa lebih indah dan harmoni.
Tanggungjawab
suami terhadap isteri:-
ü Memberikan mas kahwin kepada isteri setelah akad nikah.
ü Memberikan nafkah zahir dan batin.
ü Bergaul dengan isteri secara baik, mesra dan kasih sayang.
ü Berlaku adil antara isteri jika berpoligami.
ü Jangan menyakiti isteri sama ada secara zahir dan batin.
ü Memberi keizinan kepada isteri menziarahi keluarganya.
Tanggungjawab
isteri terhadap suami:
ü Taat kepada suami selagimana tidak bercanggah dengan
Islam.
ü Menjaga maruah suami dan ahli keluarganya.
ü Bersikap menyenangkan atau sentiasa menghiburkan suami.
ü Berhemah dalam menggunakan harta suami.
ü Tidak membenarkan mana-mana lelaki masuk ke rumah tanpa
izin suami.
ü Tidak menolak ajakan suami untuk bersama tanpa sebab atau
keuzuran.
ü Menjaga rahsia suami dan tidak mededahkann
keaibannya.
ü Tidak keluar rumah tanpa izin daripada suami.
ü Menjaga hartanya suami dengan baik.
ü Menerima giliran sekiranya berpoligami.
Tanggungjawab
bersama suami isteri:
ü Memberikan pendidikan agama yang sempurna kepada
anak-anak
ü Bersetubuh mengikut hukum syarak
ü Saling bantu membantu antara satu sama lain
ü Saling berkasih sayang
ü Hormat menghormati antara pasangan
Tip mendapat
rahmah dalam rumah tangga
ü Saling mengucap salam antara ahli keluarga
ü Banyakkan membaca al-Quran setiap masa yang terluang
ü tunaikan solat sunat dirumah
ü menghormati tetamu yang datang berkunjung
ü jangan hiasi rumah dengan benda-benda yang haram
Tiada ulasan:
Catat Ulasan