Selasa, 26 Mei 2020

KEBERKATAN YANG DIIDAMI DALAM KEHIDUPAN


firman Allah Taala yang bermaksud: Dan ia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup.
(Surah Maryam:31)

Perkataan barakah(berkat) bermaksud   kebaikan dan berkembang. Secara umumnya berkat bermaksud memohon restu dari Allah s.w.t  agar dikurniakan kebaikan yang sentiasa bertambah. Berkat adalah anugerah yang diberikan Allah kepada hambaNya yang terpilih dan disayangi . Allah  s.w.t akan memberikan keberkatan kepada sesiapa sahaja  yang dikehendakiNya. Sebagaimana yang diucapkan oleh Nabi Isa a.s tercatat dalam Surah Maryam ayat 31 yang maksudnya diutarakan diatas.
Allah s.w.t bersifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang kepada setiap hambaNya. Diantara tanda dan bukti Allah s.w.t bersifat sedemikian ialah Allah s.w.t senantiasa memberi pertolongan, rahmat dan  keberkatan dalam kehidupannya. Terdapat lima keberkataan yang dikurniakan Allah s.w.t  kepada hamba-hambaNya  yang dikasihi iaitu:
  1. ü     Keberkatan pada umur.
  2. ü  Keberkatan pada rezeki kehidupan berkeluarga.
  3. ü  Keberkatan pada ahli keluarga
  4. ü  Keberkatan pada ilmu.
  5. ü  Keberkatan pada jemaah


1. Keberkatan pada umur
Amalan yang baik yang mendapat penilaian yang baik dari  Allah s.w.t. Sekiranya seseorang manusia diberi peluang untuk hidup lama di muka bumi ini, tetapi  tidak memanfaatkan umurnya untuk kebaikan dunia dan persiapan  bekalan di akhirat maka  ianya  menjadi  sia-sia. Tetapi sekiranya seseorang itu  menggunakan peluang umur yang panjang itu untuk melakukan kebaikan, maka ia mendapat kemuliaan  di sisi Allah. Inilah maksud umur yang diberkati Allah s.w.t. Sebaliknya pula jika seseorang memiliki umur panjang sedangkan kejahatannya melebihi kebaikannya  bermakna tidak ada keberkatan pada umurnya dan amatlah ruginya apabila dihisab di akhirat nanti. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Sebaik-baik manusia menurut pandangan Allah  ialah orang yang panjang umurnya dan baik pula perbuatannya, sedang seburuk-buruk manusia ialah orang yang panjang umurnya tetapi buruk pula perbuatannya"       
       (Hadis riwayat Ahmad dan al-Hakim)

2. Keberkatan pada rezeki:

Rezeki yang berkat ialah  rezeki yang diperolehi dengan cara yang halal  menurut syarak dan digunakan pada jalan Allah s.w.t serta  jalan kebajikan. Jika seorang hamba mensyukuri rezeki dan nikmat Allah s.w.t maka kehidupannya  akan diberkati dan  akan ditambah rezekinya  dengan tidak disangka-sangka. Allah s.w.t berfirman:
Maksudnya: Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras".
(Surah Ibrahim:7)

Rezeki adalah ketentuan dari Allah s.w.t keatas setiap makhluknya. Untuk menambah keberkatan rezeki, kita hendaklah menjadi orang yang pemurah dalam bersedekah dan suka membantu orang yang memerlukan. Orang yang pemurah akan disayangi oleh masyarakat sebaliknya orang yang bakhil akan dibenci dan dijauhi oleh kawan dan lawan. Kita seharusnya menyedari bahawa harta yang kita miliki adalah satu amanah dari Allah dan di dalamnya terdapat hak-hak orang lain yang wajib kita tunaikan melalui amalan berzakat atau sedekah. Kekayaan yang sejati adalah kekayaan iman yang zahir dari kesederhanaan hidupnya dan kesederhanaan itu cerminan dari sifat qana’ah.

3. Keberkatan dalam hidup berkeluarga.        
Rumah tangga yang sakinah adalah bukti keberkatan dalam kehidupan berkeluarga. Rumah tangga yang dibina berlandaskan keimanan  dan kepatuhan kepada perintah Allah dan rasulNya akan  melahirkan ahli keluarga yang soleh dan solehah, hidup dalam rukun dan damai, saling berkasih sayang dan hormat menghormat di antara suami, isteri dan anak-anak.
Suami dan isteri sebagai nakhoda keluarga perlu menampilkan keperibadian yang mulia seterusnya menjadi qudwah hasanah kepada anak-anak. Bersifat rahmah dan berdiplomasi dalam perhubungan akan melahirkan keharmonian yang berkekalan dalam sesebuah institusi keluarga.
Selain itu, Tarbiyah Aulad (pendidikan anak-anak) hendaklah  mengikut acuan Islam yang sebenar  agar anak-anak mendapat ilmu yang secukupnya sebagai bekalan dunia dan  kehidupan akhirat nanti.
Rumusannya, keberkatan dalam keluarga dapat dilihat dari sudut keharmonian dan kebahagian sesebuah  keluarga tersebut sebaliknya keluarga yang tidak mendapat keberkatan akan berlakunya pergolakkan dan perselisihan yang akhirnya runtuhlah institusi keluarga tersebut. Justeru itu, tidak ada jalan keberkatan melainkan  kita menjadikan Islam sebagai garis panduan hidup hingga ke akhir hayat kita.

4. Keberkatan dengan berjemaah.
Umat Islam akan memperolehi keberkatan jika mereka duduk di dalam  saf atau barisan jemaah. Hal ini terbukti dengan kejayaan Rasulullah dan para sahabat mendaulatkan negara Islam melalui  jemaah Islam yang diasaskan oleh Baginda sendiri. Melalui konsep jemaah inilah akan berlakunya proses tarbiyah imaniah yang dapat melahirkan satu generasi  yang unggul dalam sejarah  dan tamadun manusia. Gesaan berjemaah ini ada disarankan oleh Rasulullah s.a.w sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud: 
Hendaklah kamu duduk bersama-sama jemaah muslimin dan ikutilah  imam mereka.”
(Hadis riwayat Imam Bukhari, Muslim dan Abu Daud) 
5. Keberkatan ilmu
Dalam kitab al-Muwafaqat, Imam As-Syatibi ada menghuraikan bahawa, Ilmu yang muktabar menurut syarak  ialah ilmu yang mendorong pemiliknya untuk beramal dan tidak sesekali membiarkan tuannya  mengikuti hawa nafsu, ilmu itu akan membawa pemiliknya mematuhi segala aturan-aturannya sekalipun ia tidak suka.
Untuk akhirnya, bagi memperolehi keberkatan dalam kehidupan ini marilah sama-sama kita muhasabah  diri bilamana kita sering  mengalami kerisauan, jiwa yang kosong dan  tidak tenang dan tekanan hidup yang tiada berkesudahan. Jawapannya tiada yang lain  melainkan  hilangnya  keberkatan sama ada dari sudut umur, hidup berkeluarga, rezeki, berjemaah mahupun  ilmu. Oleh itu, bagi mendapatkan keberkatan ini perlunya  kita kembali kepada Allah s.w.t dengan mentaati segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

  JAUHI BERSANGKA BURUK SESAMA MUSLIM Manusia juga mempunyai sikap yang lemah dan suka berbantah dalam perkara berbentuk kebenaran seperti...