Isnin, 19 September 2022

 

 LIMABELAS MAKSIAT YANG MENURUNKAN BALA.

 

Matan Hadis:

عَنْ عَلِي بِنْ أَبِى طاَلِبٍ قَالَ: قاَلَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم إِذْ فَعَلَتْ أُمَّتِى خَمْسَ عَشَرَةَ خَصْلَةً حَلَّ بِهَا البَلاَءُ, قِيْلَ وَمَاهِىَ يَا رَسُوْلُ اللهِ؟ قَالَ: إِذَا كَانَ المَغْنَمُ دُوَلاً وَالأَمَانَةُ مَغْنَماً وَالزَّكَاةُ مَغْرَماً وَأَطَاعَ الرَّجُلُ زَوْجَتَهُ وَعَقَّ أُمَّهُ وَبَرَّ صَدِيْقَهُ وَجَفَا أَبَاه وَارْتَفَعَتِ الأَصْوَاتُ فِىْ المَسَاجِدِ وَكَانَ زَعِيْمُ القَوْمِ أَرْذَلَهُمْ وَأُكْرِمَ الرَّجُلُ مَخَافَةَ شَرِّهِ وَشُرِبَتْ الخُمُوْرِ وَلُبِسَ الحَرِيْرِ وَاتُّخِذَتِ القِيَانُ وَالمَعَازِفُ وَلَعَنَ آخِرُ هَذِهِ الأُمَّةِ أَوَّلهَاَ, فَلْيَرْتَقِيْبُوْا عِنْدَ ذَلِكَ رِيْحًا حَمْرَاءَ أَوْخَسْفًا أَوْ مَسْخًا.            (رواه الترمزى)

 

Maksudnya: Daripada Ali Bin Abi Talib r.a Rasulullah s.a.w. bersabda:” apabila umat aku telah membuat limabelas perkara, maka bala pasti akan turun kepada mereka iaitu:

1. Apabila harta negara hanya beredar pada orang-orang tertentu.

2. Apabila amanah dijadikan suatu sumber keuntungan

3. Zakat dijadikan hutang.

4.Suami memperturutkan kehendak isteri.

5.Anak derhaka terhadap ibunya.

6. Sedangkan ia berbaik-baik dengan kawannya.

7. Ia suka menjauhkan diri daripada ayahnya.

8. Suara sudah ditinggikan di dalam masjid.

9. Yang menjadi ketua kaum adalah yang terhina di antara mereka.

10. Seseorang dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya.

11. Khamar (arak) sudah diminum di merata tempat.

12. Kain sutera banyak di pakai (oleh kaum lelaki).

13. Para artis-artis disanjung-sanjung.

14. Muzik banyak dimainkan.

15. Generasi akhir umat ini melaknat (menyalahkan) generasi pertama (sahabat).

Maka pada ketika itu hendaklah mereka menanti angin merah atau gempa bumi atau pun mereka akan diubah menjadi makhluk lain.”

(Hadis riwayat at-Tarmizi)

Pengajaran Hadis :

Hadis dengan jelas menerangkan kepada umat Islam 15 perkara yang jika dilakukan akan mengundang bala Allah s.w.t. Oleh itu, umat Islam sepatutnya berusaha sedaya upaya menjauhi diri, masyarakat dan Negara dari perkara-perkara ini sebelum Allah menurunkan musibah dan kesulitan.

 

 

 

TAJUK KEDUA PULUH: MUKJIZAT AL-QURAN DAN KELEBIHAN MEMBACA DAN MEMPELAJARINYA

 

  

Firman Allah swt:

Maksudnya: Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (Agama Islam), dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, Bahawa mereka beroleh pahala yang besar.

(surah al-Isra’:9)

Definisi al-Quran:

Al-Quran merupakan kalam Allah s.w.t yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w melalui perantaraan Malaikat Jibril a.s dan menjadi mukjizat agung kepada Baginda s.a.w . Kitab al-Quran disusun dan dipindahkan secara mutawatir merupakan kitab suci yang sempurna, lengkap  dan menjadi pedoman hidup manusia di dunia hingga ke hari kiamat. Membaca al-Quran dikira sebagai ibadah dan akan diberikan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda sehingga satu huruf yang dibaca digandakan dengan 10 kebaikan.

Al-Quran diturunkan di bumi Mekah dan Madinah secara beransur-ansur selama 23. Ia merupakan kitab yang dijamin oleh Allah s.w.t dan terpelihara kesuciannya dari penyelewengan tidak seperti kitab-kitab samawi yang diturunkan kepada nabi-nabi terdahulu. Allah s.w.t berfirman:

Maksudnya: Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.                                                               (Surah al-Hijr:9)

Al-Quran secara keseluruhan mempunyai 30 juzuk  di dalamnya terdapat 114 surah yang merangkumi   6236 ayat tanpa dikira bismillah, jika dikira bismillah menjadikan jumlahnya 6348 ayat. Kalimah al-Quran pula berjumlah 77439 kalimah dan jumlah hurufnya sebanyak 320015 huruf yang ditulis dalam Bahasa Arab. Surah yang paling panjang ialah Surah al-Baqarah(286 ayat) dan yang paling pendek ialah Surah al-Kaustar(3 ayat). Terdapat 86 surah yang diturunkan di Mekah dan 28 surah lagi di Madinah. (laman web Maudu’ Mauqi’u ‘Arabi)

Al-Quran diturunkan dari Luh Mahfuz ke BaitulIzzah di langit dunia secara sekali gus (30 juzuk) dan diwahyukan kepada Nabi s.a.w secara beransur-ansur mengikut suasana dan keperluan selama 23 tahun. Menurut ahli sejarah Islam, al-Quran diturun  kepada Nabi s.a.w pada malam Jumaat iaitu malam al-Qadr  17 Ramadhan, di Gua Hira' semasa umur Nabi s.a.w mencecah 41 tahun. Penurunan al-Quran pada bulan Ramadhan  telah dilakarkan dalam al-Quran melalui firman Allah s.w.t:

Maksudnya: Masa yang Diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.

(Surah al-Baqarah:185)

Penurunan ayat-ayat al-Quran  melalui  dua fasa iaitu fasa pertama di Mekah selama 13 Tahun yang dikenali sebagai ayat-ayat Makkiyah dan fasa kedua pula di Madinah Munawarah selama 10 tahun yang disebut sebagai ayat-ayat Madaniyyah.

Kelebihan al-Quran kepada umat Nabi s.a.w:

1.Orang yang diberi kebaikan di dunia ialah yang belajar al-Quran dan mengajarkannya kepada orang lain.

 Ketahuilah bahawa Allah menetapkan penjagaan Al-Quran ini hanya pada kalangan muslim yang terpilih sahaja iaitu golongan ahlulQuran supaya ia menghafal, mengkaji, beramal dan mengajarkannya kepada orang lain. Golongan ahlulQuran ini telah mendapat keistimewakan dalam hidupnya yang tidak boleh ditandingi oleh sesiapapun jua, sebagaimana dalam firman Allah s.w.t:


Maksudnya: Kemudian Kami jadikan Al-Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami.

(Surah Fatir:32)

Maka dengan sebab itu, selayaknya golongan ahlulQuran ini menjadi  umat yang terbaik dan mendapat kelebihan di sisi Allah sebagaimana yang dijelaskan oleh Nabi s.a.w:

خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ القُرْآنَ وَعَلَّمَهُ

Maksudnya: “Sebaik-baik kamu adalah orang yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya”.                                                                              (Hadis riwayat  al-Bukhari)

2.Al-Quran akan memberi syafaat kepada orang yang membaca serta beramal dengan hukum hakamnya.

Daripada Abu Umamah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Hendaklah kamu semua membaca al-Quran, sesungguhnya al-Quran akan datang pada kiamat memberi syafaat kepada orang yang membaca dan beramal dengan hukum-hakamnya.”

(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

3.Al-Quran sebagai pemberi syafaat untuk masuk surga.

Dalam hadis Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Bacalah Al-Quran karena Al-Quran akan datang pada hari kiamat nanti sebagai pemberi syafaat bagi yang membacanya (dengan tadabbur dan mengamalkannya). Bacalah al-Zahrawain (dua cahaya) iaitu Surah Al-Baqarah dan Ali ‘Imran kerana keduanya datang pada hari kiamat nanti seperti dua awan atau seperti dua cahaya sinar matahari atau seperti dua ekor burung yang membentangkan sayapnya, keduanya akan menjadi pembela bagi yang rajin membaca dua surat tersebut.” 

(Hadis riwayat Imam Ahmad)

4. Al-Quran peneman di alam kubur

 Para sahabat Nabi s.a.w, salafulsoleh dan ulama-ulama terdahulu sangat mengambilberat dalam membaca al-Quran kerana mereka menghayati akan kelebihan membaca dan mentadabbur al-Quran. Diriwayatkan bahawa Imam Abu Hanifah sentiasa membaca al-Quran dalam hidupnya bahkan dia akan khatam setiap hari sama ada sebelah siang atau malamnya dan dia melipatgandakan bacaannya apabila masuk bulan Ramadhan dengan setiap hari 2 kali khatam sehingga apabila berakhirnya bulan Ramadhan beliau mengkhatamkan al-Quran sebanyak 61 kali. 

5.Orang yang membaca al-Quran tetapi susah menyebutnya akan mendapat dua ganjaran pahala

Daripada Siti Aisyah r.a. telah berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w.: “Orang yang membaca Al-Quran dan susah untuk menyebut ayatnya ia mendapat dua pahala”.           

(Hadis riwayat al-Bukhari)

6. Diangkat darjat oleh Allah s.w.t. golongan pembaca Al-Quran.

Daripada Umar Bin Al-Khattab r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya Allah mengangkat martabat beberapa golongan dan merendahkan martabat yang lain dengan sebab al-Quran”.

(Hadis riwayat Muslim)

7. Orang yang membaca Al-Quran akan mendapat ketenangan jiwa.

Daripada Barra’ bin ‘Azib r.a. telah melaporkan: “Seorang lelaki membaca Surah Al-Kahfi dan di sisinya seekor kuda yang diikat dengan dua tali, maka awan di langit mula melindunginya dan semakin hampir, dan kudanya mula menjauhinya. Apabila menjelang pagi beliau pergi berjumpa Nabi Muhammad s.a.w. dan menceritakan peristiwa tersebut maka baginda bersabda: Itulah (sakinah) ketenangan yang turun disebabkan bacaan al-Quran”.                                                                                        (Hadis riwayat al-Bukhari )

8. orang yang mengelokkan bacaan al-quran akan mendapat kebaikan

Daripada Abdullah Bin ‘Amru Bin Al-‘As r.a. Nabi s.a.w  bersabda: “Satu masa nanti akan dikatakan kepada orang yang membaca Al-Quran: Bacalah, perbaikilah dan perelokkanlah bacaan al-Quran sepertimana engkau memperelokkan urusan di dunia, sesungguhnya tempat engkau akan ditentukan di akhir ayat yang engkau bacakan”.

(Hadis riwayat  Abu Daud)

8.Keutamaan menjadi imam solat berjemaah orang yang fasih bacaannya

Daripada Ibnu Mas’ud r.a bahawa Nabi s.a.w. bersabda: Orang yang paling layak mengimami kaum di dalam sembahyang ialah mereka yang paling fasih membaca Al-Quran”.                                                                                              (Hadis riwayat Muslim)

9. Setiap satu huruf membaca al-Quran akan mendapat sepuluh ganjaran pahala.

Daripada Ibnu Mas’ud r.a. ia berkata: “Barangsiapa yang membaca satu huruf daripada Al-Quran maka baginya satu kebaikan, satu kebaikan menyamai dengan sepuluh pahala, aku tidak bermaksud: Alif, Lam, Mim ialah satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.”

(Hadis riwayat at-Tirmizi, hadis ini hasan sahih)

10. Memperelokkan suara dengan al-Quran.

Daripada Al-Bara’ bin ‘Azib, Rasulullah s.a.w. bersabda: Hiasilah Al-Quran dengan suara kalian.                                                                                            (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Al-Quran mempunyai tiga hak yang wajib ditunaikan oleh umat Islam

ü  Hak untuk dibaca dengan sebaiknya

ü  Hak untuk bertadabur atau memahaminya dan menjiwainya

ü  Hak untuk beramal dengan seluruh isi kandungannya

Kesimpulan :

Al-Quran bukan sahaja mukjizat tetapi memberi kelebihan kepada orang yang membaca dan beramal dengan hukum hakamnya. Membaca Al-Quran dengan memahami makna tersurat dan tersirat mampu menyentuh hati dan jiwa manusia bahkan jin juga terkesan dengan keindahan bait-bait ayat Al-Quran yang dibacakan oleh Rasulullah s.a.w ketika solat.

Al-Quran menjadi  penyelamat manusia pada hari akhirat kelak. Malangnya, kerana terlalu cintakan dunia, ramai yang lari atau agak keterlaluan memisahkan al-Quran daripada kehidupan masing-masing. Nafsu duniawi yang menguasai diri  telah mendorong sebahagian umat Islam hingga lupa akan hari akhirat yang telah digambarkan dalam al-Quran melalui Surah ‘Abasa, ayat 33 hingga 37. Allah swt berfirman:

Maksudnya: Kemudian (ingatlah keadaan yang berlaku) apabila datang suara jeritan yang dahsyat. Pada hari seseorang itu lari dari saudaranya. Dan ibunya serta bapanya. Dan isterinya serta anak-anak. Kerana tiap-tiap seorang dari mereka pada hari itu, ada perkara-perkara yang cukup untuk menjadikannya sibuk dengan hal dirinya sahaja.

(Surah ‘Abasa:33-37)

Begitulah gambaran di akhirat nanti dimana semua manusia tidak sesekali berupaya membantu orang lain, malah sibuk dengan urusan diri masing-masing. Pada saat dihimpun manusia di Padang Mahsyar manusia tidak lagi saling mengenali. Ayah akan lari dari anak, anak melupakan ibu, saudara tidak kenal saudara, sahabat jauh sekali. Dalam keadaan hura-hara itu, sudah tentunya al-Quran sahajalah yang boleh menjadi pendamping dan memberi syafaat kepada orang-orang yang beramal dengannya.

 

TAJUK KEDUA PULUH DUA:  MENYINGKAP HIJRAH RASULULLAH S.A.W DAN PENGAJARANNYA

 

firman Allah swt yang bermaksud:

"Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah, sesudah mereka dianiaya (ditindas oleh musuh-musuh Islam), Kami akan menempatkan mereka di dunia ini pada tempatnya yang baik; dan sesungguhnya pahala (amal mereka yang baik itu) lebih besar di akhirat kelak, kalaulah mereka mengetahui. Mereka itu ialah orang-orang yang bersabar (menanggung kezaliman) dan berserah diri kepada Tuhannya."

(Surah An-Nahl:41-42)

Definisi:                                                                

Dalam kamus Lisan al-arab Ibnu Manzur, hijrah pada bahasa bermaksud keluar dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Hijrah Rasulullah s.a.w ialah perpindahan Nabi Muhammad s.a.w beserta sekumpulan orang Islam (muhajirin) dari Kota Mekah Ke Kota Madinah bagi membina Negara Islam Madinah.

Sambutan Maal Hijrah bukan semata-mata untuk memperingati peristiwa hijrah Rasulullah  s.aw dan sahabat sejati Baginda  Abu Bakar Bin Abi Khohafah Al-Siddiq r.a serta para sahabat yang lain bahkan lebih dari itu, menyingkap seribu  pengajaran dan teladan yang membawa kepada kejayaan dakwah Nabi s.a.w di muka bumi ini. Dalam Islam, hijrah adalah satu amalan yang amat mulia dan digalakkan di dalam Islam. Matlamat hijrah sebagaimana yang dimaksudkan ialah berpindah daripada persekitaran yang buruk  kepada persekitaran yang lebih baik demi menjaga kepentingan agama. Hijrah memerlukan pengorbanan jasmani dan rohani seseorang kerana ia akan turut membawa perubahan dan pembaharuan dalam kehidupan.

Sejarah Kemunculan Takwim Hijrah

Tahun hijrah amat sinonim dengan kisah penghijrahan Rasulullah s.a.w dari Mekah ke Madinah sehingga tertubuhnya Negara Islam Madinah.  Namun begitu tarikh sebenar penghijrahan itu masih menjadi perbezaan pendapat dikalangan para ulama Islam. Menurut Sheikh Tahir Jalaludin seorang ahli falak menyatakan bahawa pada hari Isnin  9 Rabiulawal Rasulullah tiba di Quba’ bersamaan 20 September 622 Masihi.  Kemudian itu, Baginda  s.a.w meneruskan perjalanannya hingga sampai ke Madinah pada 13 Rabiulawal 622 Masihi.

Takwim hijrah belum bermula pada zaman Rasulullah s.a.w sehingga negara  Islam berada dibawah kepimpinan Saidina Umar al-Khattab (khalifah Islam kedua). Semasa beliau menjadi khalifah, Gabenor Abu Musa menerima sepucuk surat dari Saidina Umar yang hanya mencatat tarikh bulan Syaaban tanpa menyebut tahunnya sehingga Abu Musa terpaksa membalas surat itu dan bertanya tahun yang manakah Khalifah Umar maksudkan.

Bertitik tolak dari itu, Khalifah Umar mengarahkan supaya dibuat tarikh, bulan dan tahun dalam takwim hijrah. Muharam dijadikan sebagai  bulan pertama dalam takwim hijrah dan apabila dikebelakangkan dari tarikh sebenar hijrah Rasulullah ke Madinah, maka 1 Muharam menjadi hari pertama tahun hijrah yang ditetapkan pada Jumaat 16 Julai 622 Masihi.

Faktor Yang Membawa Kepada Peristiwa Hijrah:

  • Hijrah merupakan perintah dari  Allah s.w.t kepada Rasulullah dan para sahabat untuk mempertahankan Islam di atas muka bumi ini.
  • Saat genting sebelum penghijrahan, dakwah Rasulullah mendapat tentangan yang cukup hebat dari kaum musyrikin Mekah.
  • Ancaman bunuh dan pelbagai penyeksaan terhadap umat Islam semakin memuncak saban hari.
  • Penghijrahan Rasulullah s.a.w dan para sahabat merupakan sebahagian permintaan  dari penduduk Madinah   yang sanggup memberi jaminan keselamatan kepada Baginda s.a.w dan para sahabat.
  • Hijrah menjadi salah satu dari strategi dakwah Rasulullah s.a.w dalam memastikan risalah Islam dapat ditegakkan di bumi ini.                                                            

Intipati pengajaran disebalik peristiwa hijrah kepada umat Islam.

·         Umat Islam perlu berhijrah dari sikap mementingkan keduniaan kepada mengutamakan akhirat.

·         Perancangan dan strategi cukup penting dalam kehidupan bagi mencapai kejayaan dunia dan akhirat.

·         Persaudaraan cukup penting dalam membina kekuatan umat Islam.

·         Masjid menjadi tempat strategik bagi umat Islam membina permuafakatan dan perkembangan ilmu kepada masyarakat Islam.

·         Sentiasa memohon  doa  dalam perjuangan.

·         Bersatu teguh dalam jamaah dan elakkan dari perpecahan.

·         Setiap perjuangan memerlukan pengorbanan harta, jiwa dan raga demi mencari redha Allah.

·         Hargai perjuangan nabi dan umat terdahulu dalam menyebarkaan Islam . Justeru kita perlu berusaha menghidupkan sunnah Nabi s.a.w dlm kehidupan supaya menjadi umat yang terbaik.

·         Jangan kita lupa bahawa musuh Islam akan sentiasa mencari jalan menghancur Islam dengan apa cara sekalipun.

·         Umat Islam perlu berhijrah dari sikap mazmumah(buruk) kepada sikap mahmudah(terpuji).

·         Sesungguhnya kejayaan dunia dan akhirat hanya  ada pada Agama Islam.

·         Perjuangan memartabatkan Islam perlu diteruskan oleh umat Islam sehingga hari kiamat.

 

TAJUK KEDUA PULUH LIMA: PERKAHWINAN DAN KELUARGA SAKINAH MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

 firman Allah swt yang bermaksud:

Maksudnya: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.

(Surah al-Rum:21)

 Konsep Perkahwinan Menurut Islam:

Kahwin atau nikah menurut bahasa ialah bersatu atau berkumpul. Manakala pada istilah pula bermaksud akad yang sah yang menghalalkan istimta’ di antara lelaki dan wanita dengan cara yang dibenarkan syarak.

Perkahwinan merupakan sunnah para nabi dan rasul dan menjadi satu ibadah yang suci. Perkahwinan adalah satu-satunya jalan yang dihalalkan syariat untuk manusia memenuhi keinginan seks kepada pasangan masing-masing. Ini kerana manusia secara fitrahnya diciptakan oleh Allah mempunyai naluri dan keinginan seks apabila sampai tahap umur tertentu. Cuba kita bayangkan jika Syariat Islam tidak membenarkan perkahwinan dan  menghalang manusia hidup berpasangan. Sudah tentunya manusia akan dilanda kebinasaan dan kehancuran. Mana mungkin mereka boleh meneruskan kelestarian zuriat  dan pembelaan kepada anak-anak yang dilahirkan hasil hubungan seks antara pasangan tanpa jalan perkahwinan yang sah.

Justeru itu, Perkahwinan sememangnya menjamin semua pihak. Melalui perkahwinan Islam telah menetapkan hak-hak yang perlu ditunaikan iaitu suami bertanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak, isteri mesti melaksanakan tanggungjawab terhadap suami dan anak-anak dan si anak pula perlu menghormati dan mentaati ibu bapa. Semua ini merupakan kerukunan dan peraturan yang telah ditetapkan oleh syariat bagi mencapai kebahagian dan matlamat perkahwinan.

Setiap pasangan yang berkahwin menginginkan kebahagian dalam rumah tangga. Institusi keluarga menjadi kunci utama kebahagiaan seseorang individu. Kebahagian rumah tangga bukan hanya terletak kepada kekayaan harta benda atau material semata-mata. Keluarga bahagia menurut Islam adalah sebuah keluarga yang menjalani kehidupan berlandaskan  akidah dan syariat Islam, yang menjunjung Islam sebagai cara hidup dan yang sentiasa mentaati perintah Allah s.w.t dan rasulNya sehingga  mereka menikmati   keberkatan, sakinah, mawaddah dan rahmah dalam kehidupan.

Agama menjadi faktor terpenting dalam menentukan kebahagian rumah tangga.  Apabila agama ditinggal atau diabaikan maka akan berlakunya kepincangan dan pergolakkan antara suami isteri. Tanpa agama suami akan lupa tanggungjawab sebagai ketua keluarga, isteri pula sering menderhakai suami dan anak-anak yang tidak taat kepada ibu bapanya. Hukum hakam tidak diperdulikan, segala hak dan tanggungjawab dilanggari sehingga akhirnya runtuhnya sebuah institusi keluarga yang diimpikan selama ini.

Tanda-tanda  keluarga sakinah(bahagia) menurut perspektif Islam:

1. Isteri yang solehah

Wanita solehah adalah idaman setiap lelaki. Seorang isteri solehah mampu memberikan kebahagian dalam kehidupan keluarganya. Isteri yang solehah akan  patuh kepada suaminya, penyabar, taat kepada perintah Allah s.w.t, mendidik anak-anaknya dengan ajaran agama, sentiasa menjaga maruah diri dan ahli keluarganya, dan tidak membuka keaiban suaminya. Sesungguhnya kedudukan wanita solehah lebih mulia berbanding dengan  harta dunia yang lain. Nabi s.a.w bersabda:

 

الدُّنْياَ مَتاَعٌ وَخَيرُ مَتَاعِ الدُّنْيَا الـمَرْآةُ الصَّالِحَةُ

Maksudnya: “Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia ialah perempuan yang solehah.”                                                                  (Hadis riwayat Muslim)

Oleh karena itu, Islam mengutamakan pemilihan ciri-ciri calon isteri dari sudut agamanya  sebelum melihat rupa paras, harta dan keturunannya. Sabda Nabi s.a.w:

تُنْكَحُ المَرْآةَ لِأَرْبَعٍ: لـِمَالِهَا وَلِحَسَبِهَا وَلِجَمَالِهَا وَلِدِيْنِهَا فَاظْفَرِ بِذَاتِ الدِّيْنِ تَرِبَتْ يَدَاكَ

Maksudnya:Kahwinilah perempuan itu kerana empat perkara kerana hartanya, kerana nasabnya dan kerana kecantikannya,  kerana agamanya. Maka  hendaklah kamu  pilih  kerana agamanya sebab kalau tidak demikian, nescaya kamu akan celaka”

(Hadis Muttafaqun ‘alaih)

2. Ahli keluarga yang damai dan aman (penuh ketenangan)

Keluarga yang sakinah adalah yang memilik ketenangan, kedamaian dan keamanan. Bagi mencapai keluarga sakinah, rumah tangga perlu menjalani kehidupan berlandaskan prinsip keimanan dan ketakwaan, saling menyayangi antara  satu sama lain, menerima kekurangan masing-masing dan saling lengkap-melengkapi. Suami isteri mesti berbincang dalam menyelesaikan permasalahan dan bantu-membantu dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing. Anak-anak yang mentaati ibu bapanya dan mempunyai akhlak yang baik dan mulia. Jauh sekali dari kehidupan yang kacau bilau, bertengkar dan saling benci membenci antara ahli keluarga. Benarlah kata pepatah: “Bersatu kita teguh  bercerai kita roboh”.

3. Anak-anak yang berakhlak mulia

Anak-anak penyeri kepada rumah tangga dan penyejuk mata kepada setiap ibu bapa. Anak-anak yang lahir dan  dididik dengan ilmu agama semenjak kecil akan membesar dan  tumbuh menjadi generasi rabbani yang hebat. Pembentukan ahlak dan keperibadian yang  luhur bermula dari rumah. Justeru itu, ibu bapa perlu menjadi contoh dan tauladan kepada anak-anak. Anak yang soleh dan solehah akan menjadi kebanggaan orang tuanya  di dunia  dan  dapat  memberi kebaikan kepada ayah dan ibunya di akhirat nanti. Sabda Nabi s.a.w:

إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثٍ: صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Maksudnya: “Apabila matinya seorang manusia, maka terputuslah amalnya kecuali tiga perkara: sedekah jariyah, ilmu yang bermanafaat, anak yang soleh yang berdoa untuk kepadanya”

(Hadis riwayat Muslim). 

4.Keluarga yang mendapat keberkatan

Antara ciri-ciri keluarga bahagia adalah keluarga yang barakah. Sesungguhnya ukuran keberkatan itu ialah rezeki yang halal, mencukupi lagi berkat, suami isteri yang saling bertoleransi dan rajin beribadah, anak-anak yang mentaati Allah dan RasulNya serta berjaya dalam kehidupannya, tangan yang tidak kedekut untuk bersedekah dan tidak lupa bersyukur pada Allah s.w.t. Selain itu, keberkatan seseorang juga boleh dilihat dari sudut umur dan waktu yang digunakan hanya untuk perkara yang bermanafaat dalam kehidupannya. Oleh yang demikian, amatlah  salah jika keberkatan itu diukur pada harta yang melimpah ruah, rumah yang tersegam indah, kenderaan yang mewah, pangkat yang tinggi, umur yang panjang tapi lalai dan leka.

5. Keluarga yang mawaddah

Mawaddah membawa maksud rasa cinta-mencintai. Keluarga yang mawaddah adalah keluarga yang dinaungi dengan perasaan cinta hanya kerana Allah dan penuh pengharapan. Apabila suami isteri saling berkasih sayang, maka insyaallah rumah tangga yang dibina akan terasa lebih indah dan harmoni.

Tanggungjawab suami terhadap isteri:-

ü  Memberikan mas kahwin kepada isteri setelah akad nikah.

ü  Memberikan nafkah zahir dan batin.

ü  Bergaul dengan isteri secara baik, mesra dan kasih sayang.

ü  Berlaku adil antara isteri jika berpoligami.

ü  Jangan menyakiti isteri sama ada secara zahir dan batin.

ü  Memberi keizinan kepada isteri menziarahi keluarganya.

Tanggungjawab isteri terhadap suami:

ü  Taat kepada suami selagimana tidak bercanggah dengan Islam.

ü  Menjaga maruah suami dan ahli keluarganya.

ü  Bersikap menyenangkan atau sentiasa menghiburkan suami.

ü  Berhemah dalam menggunakan harta suami.

ü  Tidak membenarkan mana-mana lelaki masuk ke rumah tanpa izin suami.

ü  Tidak menolak ajakan suami untuk bersama tanpa sebab atau keuzuran.

ü   Menjaga rahsia suami dan tidak mededahkann keaibannya.

ü  Tidak keluar rumah tanpa izin daripada suami.

ü  Menjaga hartanya suami dengan baik.

ü  Menerima giliran sekiranya berpoligami.

Tanggungjawab bersama suami isteri:

ü  Memberikan pendidikan agama yang sempurna kepada anak-anak

ü  Bersetubuh mengikut hukum syarak

ü  Saling bantu membantu antara satu sama lain

ü  Saling berkasih sayang

ü  Hormat menghormati antara pasangan

Tip mendapat rahmah dalam rumah tangga

ü  Saling mengucap salam antara ahli keluarga

ü  Banyakkan membaca al-Quran setiap masa yang terluang

ü  tunaikan solat sunat dirumah

ü  menghormati tetamu yang datang berkunjung

ü  jangan hiasi rumah dengan benda-benda yang haram 

amalkan cara hidup Nabi s.a.w dalam kehidupan seharian.

  JAUHI BERSANGKA BURUK SESAMA MUSLIM Manusia juga mempunyai sikap yang lemah dan suka berbantah dalam perkara berbentuk kebenaran seperti...