Isnin, 19 September 2022

 

TAJUK KEDUA PULUH: MUKJIZAT AL-QURAN DAN KELEBIHAN MEMBACA DAN MEMPELAJARINYA

 

  

Firman Allah swt:

Maksudnya: Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (Agama Islam), dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, Bahawa mereka beroleh pahala yang besar.

(surah al-Isra’:9)

Definisi al-Quran:

Al-Quran merupakan kalam Allah s.w.t yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w melalui perantaraan Malaikat Jibril a.s dan menjadi mukjizat agung kepada Baginda s.a.w . Kitab al-Quran disusun dan dipindahkan secara mutawatir merupakan kitab suci yang sempurna, lengkap  dan menjadi pedoman hidup manusia di dunia hingga ke hari kiamat. Membaca al-Quran dikira sebagai ibadah dan akan diberikan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda sehingga satu huruf yang dibaca digandakan dengan 10 kebaikan.

Al-Quran diturunkan di bumi Mekah dan Madinah secara beransur-ansur selama 23. Ia merupakan kitab yang dijamin oleh Allah s.w.t dan terpelihara kesuciannya dari penyelewengan tidak seperti kitab-kitab samawi yang diturunkan kepada nabi-nabi terdahulu. Allah s.w.t berfirman:

Maksudnya: Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.                                                               (Surah al-Hijr:9)

Al-Quran secara keseluruhan mempunyai 30 juzuk  di dalamnya terdapat 114 surah yang merangkumi   6236 ayat tanpa dikira bismillah, jika dikira bismillah menjadikan jumlahnya 6348 ayat. Kalimah al-Quran pula berjumlah 77439 kalimah dan jumlah hurufnya sebanyak 320015 huruf yang ditulis dalam Bahasa Arab. Surah yang paling panjang ialah Surah al-Baqarah(286 ayat) dan yang paling pendek ialah Surah al-Kaustar(3 ayat). Terdapat 86 surah yang diturunkan di Mekah dan 28 surah lagi di Madinah. (laman web Maudu’ Mauqi’u ‘Arabi)

Al-Quran diturunkan dari Luh Mahfuz ke BaitulIzzah di langit dunia secara sekali gus (30 juzuk) dan diwahyukan kepada Nabi s.a.w secara beransur-ansur mengikut suasana dan keperluan selama 23 tahun. Menurut ahli sejarah Islam, al-Quran diturun  kepada Nabi s.a.w pada malam Jumaat iaitu malam al-Qadr  17 Ramadhan, di Gua Hira' semasa umur Nabi s.a.w mencecah 41 tahun. Penurunan al-Quran pada bulan Ramadhan  telah dilakarkan dalam al-Quran melalui firman Allah s.w.t:

Maksudnya: Masa yang Diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.

(Surah al-Baqarah:185)

Penurunan ayat-ayat al-Quran  melalui  dua fasa iaitu fasa pertama di Mekah selama 13 Tahun yang dikenali sebagai ayat-ayat Makkiyah dan fasa kedua pula di Madinah Munawarah selama 10 tahun yang disebut sebagai ayat-ayat Madaniyyah.

Kelebihan al-Quran kepada umat Nabi s.a.w:

1.Orang yang diberi kebaikan di dunia ialah yang belajar al-Quran dan mengajarkannya kepada orang lain.

 Ketahuilah bahawa Allah menetapkan penjagaan Al-Quran ini hanya pada kalangan muslim yang terpilih sahaja iaitu golongan ahlulQuran supaya ia menghafal, mengkaji, beramal dan mengajarkannya kepada orang lain. Golongan ahlulQuran ini telah mendapat keistimewakan dalam hidupnya yang tidak boleh ditandingi oleh sesiapapun jua, sebagaimana dalam firman Allah s.w.t:


Maksudnya: Kemudian Kami jadikan Al-Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami.

(Surah Fatir:32)

Maka dengan sebab itu, selayaknya golongan ahlulQuran ini menjadi  umat yang terbaik dan mendapat kelebihan di sisi Allah sebagaimana yang dijelaskan oleh Nabi s.a.w:

خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ القُرْآنَ وَعَلَّمَهُ

Maksudnya: “Sebaik-baik kamu adalah orang yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya”.                                                                              (Hadis riwayat  al-Bukhari)

2.Al-Quran akan memberi syafaat kepada orang yang membaca serta beramal dengan hukum hakamnya.

Daripada Abu Umamah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Hendaklah kamu semua membaca al-Quran, sesungguhnya al-Quran akan datang pada kiamat memberi syafaat kepada orang yang membaca dan beramal dengan hukum-hakamnya.”

(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

3.Al-Quran sebagai pemberi syafaat untuk masuk surga.

Dalam hadis Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Bacalah Al-Quran karena Al-Quran akan datang pada hari kiamat nanti sebagai pemberi syafaat bagi yang membacanya (dengan tadabbur dan mengamalkannya). Bacalah al-Zahrawain (dua cahaya) iaitu Surah Al-Baqarah dan Ali ‘Imran kerana keduanya datang pada hari kiamat nanti seperti dua awan atau seperti dua cahaya sinar matahari atau seperti dua ekor burung yang membentangkan sayapnya, keduanya akan menjadi pembela bagi yang rajin membaca dua surat tersebut.” 

(Hadis riwayat Imam Ahmad)

4. Al-Quran peneman di alam kubur

 Para sahabat Nabi s.a.w, salafulsoleh dan ulama-ulama terdahulu sangat mengambilberat dalam membaca al-Quran kerana mereka menghayati akan kelebihan membaca dan mentadabbur al-Quran. Diriwayatkan bahawa Imam Abu Hanifah sentiasa membaca al-Quran dalam hidupnya bahkan dia akan khatam setiap hari sama ada sebelah siang atau malamnya dan dia melipatgandakan bacaannya apabila masuk bulan Ramadhan dengan setiap hari 2 kali khatam sehingga apabila berakhirnya bulan Ramadhan beliau mengkhatamkan al-Quran sebanyak 61 kali. 

5.Orang yang membaca al-Quran tetapi susah menyebutnya akan mendapat dua ganjaran pahala

Daripada Siti Aisyah r.a. telah berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w.: “Orang yang membaca Al-Quran dan susah untuk menyebut ayatnya ia mendapat dua pahala”.           

(Hadis riwayat al-Bukhari)

6. Diangkat darjat oleh Allah s.w.t. golongan pembaca Al-Quran.

Daripada Umar Bin Al-Khattab r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya Allah mengangkat martabat beberapa golongan dan merendahkan martabat yang lain dengan sebab al-Quran”.

(Hadis riwayat Muslim)

7. Orang yang membaca Al-Quran akan mendapat ketenangan jiwa.

Daripada Barra’ bin ‘Azib r.a. telah melaporkan: “Seorang lelaki membaca Surah Al-Kahfi dan di sisinya seekor kuda yang diikat dengan dua tali, maka awan di langit mula melindunginya dan semakin hampir, dan kudanya mula menjauhinya. Apabila menjelang pagi beliau pergi berjumpa Nabi Muhammad s.a.w. dan menceritakan peristiwa tersebut maka baginda bersabda: Itulah (sakinah) ketenangan yang turun disebabkan bacaan al-Quran”.                                                                                        (Hadis riwayat al-Bukhari )

8. orang yang mengelokkan bacaan al-quran akan mendapat kebaikan

Daripada Abdullah Bin ‘Amru Bin Al-‘As r.a. Nabi s.a.w  bersabda: “Satu masa nanti akan dikatakan kepada orang yang membaca Al-Quran: Bacalah, perbaikilah dan perelokkanlah bacaan al-Quran sepertimana engkau memperelokkan urusan di dunia, sesungguhnya tempat engkau akan ditentukan di akhir ayat yang engkau bacakan”.

(Hadis riwayat  Abu Daud)

8.Keutamaan menjadi imam solat berjemaah orang yang fasih bacaannya

Daripada Ibnu Mas’ud r.a bahawa Nabi s.a.w. bersabda: Orang yang paling layak mengimami kaum di dalam sembahyang ialah mereka yang paling fasih membaca Al-Quran”.                                                                                              (Hadis riwayat Muslim)

9. Setiap satu huruf membaca al-Quran akan mendapat sepuluh ganjaran pahala.

Daripada Ibnu Mas’ud r.a. ia berkata: “Barangsiapa yang membaca satu huruf daripada Al-Quran maka baginya satu kebaikan, satu kebaikan menyamai dengan sepuluh pahala, aku tidak bermaksud: Alif, Lam, Mim ialah satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.”

(Hadis riwayat at-Tirmizi, hadis ini hasan sahih)

10. Memperelokkan suara dengan al-Quran.

Daripada Al-Bara’ bin ‘Azib, Rasulullah s.a.w. bersabda: Hiasilah Al-Quran dengan suara kalian.                                                                                            (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Al-Quran mempunyai tiga hak yang wajib ditunaikan oleh umat Islam

ü  Hak untuk dibaca dengan sebaiknya

ü  Hak untuk bertadabur atau memahaminya dan menjiwainya

ü  Hak untuk beramal dengan seluruh isi kandungannya

Kesimpulan :

Al-Quran bukan sahaja mukjizat tetapi memberi kelebihan kepada orang yang membaca dan beramal dengan hukum hakamnya. Membaca Al-Quran dengan memahami makna tersurat dan tersirat mampu menyentuh hati dan jiwa manusia bahkan jin juga terkesan dengan keindahan bait-bait ayat Al-Quran yang dibacakan oleh Rasulullah s.a.w ketika solat.

Al-Quran menjadi  penyelamat manusia pada hari akhirat kelak. Malangnya, kerana terlalu cintakan dunia, ramai yang lari atau agak keterlaluan memisahkan al-Quran daripada kehidupan masing-masing. Nafsu duniawi yang menguasai diri  telah mendorong sebahagian umat Islam hingga lupa akan hari akhirat yang telah digambarkan dalam al-Quran melalui Surah ‘Abasa, ayat 33 hingga 37. Allah swt berfirman:

Maksudnya: Kemudian (ingatlah keadaan yang berlaku) apabila datang suara jeritan yang dahsyat. Pada hari seseorang itu lari dari saudaranya. Dan ibunya serta bapanya. Dan isterinya serta anak-anak. Kerana tiap-tiap seorang dari mereka pada hari itu, ada perkara-perkara yang cukup untuk menjadikannya sibuk dengan hal dirinya sahaja.

(Surah ‘Abasa:33-37)

Begitulah gambaran di akhirat nanti dimana semua manusia tidak sesekali berupaya membantu orang lain, malah sibuk dengan urusan diri masing-masing. Pada saat dihimpun manusia di Padang Mahsyar manusia tidak lagi saling mengenali. Ayah akan lari dari anak, anak melupakan ibu, saudara tidak kenal saudara, sahabat jauh sekali. Dalam keadaan hura-hara itu, sudah tentunya al-Quran sahajalah yang boleh menjadi pendamping dan memberi syafaat kepada orang-orang yang beramal dengannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

  JAUHI BERSANGKA BURUK SESAMA MUSLIM Manusia juga mempunyai sikap yang lemah dan suka berbantah dalam perkara berbentuk kebenaran seperti...