Zakat Satu
Kefardhuan
Daripada Ibn ‘Abbas RA
berkata: “Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah, untuk membersihkan
orang yang mengerjakan puasa daripada perkataan yang sia-sia dan perkataan yang
buruk serta untuk menjadi makanan kepada orang-orang miskin. Oleh sebab itu, sesiapa
yang menunaikannya sebelum solat hari raya maka jadilah ia zakat fitrah yang
diterima. Sesiapa yang menunaikannya sesudah solat hari raya maka jadilah ia
sedekah biasa seperti sedekah sunat yang lain.” (Hadith riwayat Abu Daud,
No.1609, Ibn Majah, No. 1827, al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra, No. 7513,
al-Daruqutni dalam sunannya, No. 2042)
Matan Hadith:
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ
قَال :فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الْفِطْرِ طُهْرَةً لِلصَّائِمِ مِنْ
اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ وَطُعْمَةً لِلْمَسَاكِينِ مَنْ أَدَّاهَا قَبْلَ
الصَّلَاةِ فَهِيَ زَكَاةٌ مَقْبُولَةٌ وَمَنْ أَدَّاهَا بَعْدَ الصَّلَاةِ فَهِيَ
صَدَقَةٌ مِنْ الصَّدَقَاتِ .
]سنن أبي داود , كتاب الزكاة , باب زكاة الفطر , حديث رقم 1609 , عن ابن عباس رضي الله عنه[
Pengajaran Hadith :
- Zakat
daripada sudut bahasa adalah keberkatan, kesucian, kebaikan dan
berkembang. Dinamakan zakat kerana ia dapat mengembangkan harta yang telah
dikeluarkan zakatnya dan menjauhkannya daripada segala kerosakan dan
kebinasaan.
- Antara
hikmah disyariatkan zakat ialah, pengurusannya mampu memperbaik kedudukan
masyarakat dari sudut moral dan material di mana ia dapat menyatukan
anggota masyarakat sehingga menjadi seolah-olah satu tubuh. Selain dari
itu, ia juga dapat membersihkan jiwa dari sifat kedekut dan bakhil. Ia
juga merupakan benteng keamanan dalam sistem ekonomi Islam dan jaminan ke
arah kestabilan dan kesinambungannya.
- Sesiapa
yang mengingkari kewajipan zakat, bererti orang tersebut terkeluar dari
agama Islam dan dia hendaklah diminta supaya bertaubat. Adapun orang yang
enggan membayar zakat tetapi masih tetap mengakui kewajipannya, maka dia
berdosa kerana tindakannya itu. Walau bagaimanapun dia tidaklah sampai
terkeluar dari agama Islam. Oleh yang demikian, pemerintah wajib mengambil
zakat hartanya secara paksa sekaligus menjatuhkan hukuman takzir
(pengajaran).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan