Pecutan Terakhir
Mengejar Keampunan di Garisan Penamat Ramadhan
Daripada Abu Hurairah
RA berkata Rasulullah SAW bersabda: “Celakalah seseorang itu, apabila namaku
disebut-sebut di hadapannya dan dia tidak mengucapkan selawat kepadaku,
celakalah seseorang itu, apabila Bulan Ramadhan menemuinya kemudian telah
berakhir sebelum dia mendapatkan keampunan (daripada Allah), dan celakalah
seseorang yang kedua orang tuanya berusia lanjut namun kedua orang tuanya tidak
dapat memasukkannya ke dalam syurga (kerana kebaktiannya).” (Hadith riwayat
at-Tirmizi, No. 3545, Ahmad, No. 7139, al-Baihaqi dalam sunan al-Kubra, No.
8295, al-Tabrani dalam Mu’jam al-Awsat, No. 8989, al-Hathami dalam al-Majma’,
No. 17319, Ibn Hibban dalam sahihnya, No. 916, Ibn Khuzaimah dalam sahihnya,
No. 1786).
Matan Hadith:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ :قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: رَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ
عَلَيَّ وَرَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ دَخَلَ عَلَيْهِ رَمَضَانُ ثُمَّ انْسَلَخَ قَبْلَ
أَنْ يُغْفَرَ لَهُ وَرَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ أَدْرَكَ عِنْدَهُ أَبَوَاهُ الْكِبَرَ
فَلَمْ يُدْخِلَاهُ الْجَنَّةَ. وَقالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ غَرِيبٌ
مِنْ هَذَا الْوَجْهِ
]جامع الترمذي , كِتَاب
الدَّعَوَاتِ , بَاب قَوْلِ رَسُولِ
اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ : رَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ , حديث رقم 3545 , عن أبي
هريرة رضي الله عنه[
Pengajaran
Hadith :
- Nabi
SAW adalah seorang Rasul yang diutuskan Allah SWT untuk membawa rahmat
kepada umatnya. Bahkan Nabi SAW sendiri adalah seorang yang lemah-lembut
dan penyayang kepada umatnya. Namun dalam hadith ini, Baginda SAW telah
mengaminkan doa kecelakaan kepada tiga golongan manusia apabila mereka
mengabaikan perintah dan tanggungjawab yang telah ditetapkan.
- Bulan
Ramadhan memberi kesempatan bagi seseorang hamba merebut dan
memperbanyakkan amalan seperti berselawat serta mengamalkan sunnah-sunnah
Nabi SAW bagi mendapat pahala yang berlipat ganda. Dalam bulan yang mulia
ini juga peluang untuk seseorang anak berbakti dan mendoakan kepada kedua
ibu bapanya. Alangkah ruginya bagi seseorang apabila datangnya bulan
Ramadhan tetapi tidak mendapat kebaikannya, malah dia masih lalai dan
bergelumang dengan noda dan dosa.
- Walau
bagaimanapun, jika sesuatu amalan kebaikan itu disertai dengan perasaan
riak dan takabbur maka amalan tersebut bukan sahaja akan ditolak bahkan
akan menambahkan dosa serta jauh daripada keampunan-Nya. Marilah kita
menginsafi diri kita sendiri dengan bermuhasabah adakah ketiga-tiga doa
malaikat yang diaminkan oleh Nabi SAW itu berlaku ke atas diri kita? Jika
ianya berlaku, bertaubatlah segera dan minta ampunlah kepada Allah SWT.
Semoga Allah SWT menjauhkan diri kita daripada tiga kecelakaan tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan