PEGANGAN AHLI SUNNAH WAL JAMAAH
Al-Asy’ari dan al-Maturidi
Imam al-Asy’ari
Imam al-Asy’ari atau nama sebenarnya, Abu al-Hasan
Ali bin Ishaq al-Asy’ari, telah dilahirkan di Basrah pada tahun 260 H/ 874 M.
Berdasarkan retrospeksi ulama, Abu al-Hasan al-Asy’ari pada mulanya telah berguru
dengan al-Jubba’i yang bermazhab Muktazilah. Kemudian apabila usianya telah
mencapai 40 tahun, beliau beralih ke mazhab Ahli Sunnah. Sekaligus membuktikan
bahawa mazhab Ahli Sunnah memang sudah wujud sebelum perpindahan Abu al-Hasan
al-Asy’ari ke dalamnya. Perpindahan ini terjadi akibat perselisihan pendapat
beliau dengan gurunya yang bermazhab Muktazilah. Sejak peristiwa itu, Abu
al-Hasan al-Asy’ari mula aktif berdebat dengan para pengikut Muktazilah yang
lain demi membela mazhab Ahli Sunnah. Imam al-Asy’ari mempunyai sekolah atau
tempat pengajaran sendiri bagi menyampaikan pelajaran Akidah Ahli Sunnah.
Ketokohan beliau dalam bidang Akidah telah mengangkat kedudukannya di mata
pengikut mazhab Ahli Sunnah. Beliau telah wafat pada tahun 324 H/ 935 M.
Imam al-Maturidi
Imam al-Maturidi atau nama sebenarnya ialah Abu
Mansur Muhammad bin Muhammad bin Mahmud al-Maturidi. Panggilan al-Maturidi
diambil sempena nama tempat asalnya iaitu, Maturid. Seperti Imam al-Asy’ari,
Imam al-Maturidi juga mempunyai sekolah sebagai tempat untuk menyebarkan Akidah
mazhab Ahli Sunnah. Beliau telah wafat pada tahun 333 H/ 944 M.
Perbezaan Antara Aliran al-Asy’ari dan al-Maturidi
Hakikatnya terdapat banyak perbezaan pelajaran antara
Aliran al-Asy’ari dan al-Maturidi. Di sini, saya hanya menyebutkan sebelas
sahaja perbezaan antara dua aliran tersebut.
Pertama, Aliran al-Asy’ari atau terkenal dengan
sebutan Asya’irah berpendapat bahawa kehendak Allah s.w.t. tidak terikat dengan
apa pun. Tetapi, Aliran al-Maturidi atau terkenal dengan panggilan Maturidiyah
mengakui bahawa manusia mempunyai kebebasan kehendak.
Kedua, Asya’irah berpandangan bahawa Allah s.w.t.
yang Maha Berkuasa boleh menyalahi ancaman-Nya. Namun, Maturidiyah berpandangan
bahawa Allah s.w.t. yang Maha Benar tidak boleh menyalahi ancaman-Nya.
Ketiga, Asya’irah berpendapat bahawa bahagia atau
celakanya pada kematian seseorang sudah ditentukan sejak azali. Tetapi,
Maturidiyah berpendapat bahawa kebahagiaan atau kecelakaan seseorang adalah
merupakan keadaan sekarang.
Keempat, Asya’irah mengatakan bahawa harus atau boleh
jika seseorang itu untuk menyebut, “Insya Allah, saya mukmin”. Namun,
Maturidiyah menegaskan bahawa tidak boleh mengucapkan, “Insya Allah, saya
mukmin”.
Kelima, Asya’irah berpendapat menegaskan bahawa Qadha
kembali kepada sifat zat atau ianya Qadim (Bukan Baharu).
Tetapi, Maturidiyah mengatakan bahawa Qadha kembali kepada sifat perbuatan.
Keenam, Asya’irah mengatakan bahawa Qadar kembali
kepada sifat perbuatan atau ianya Jadid (Baharu). Berbeza
dengan Maturdiyah yang berpendapat bahawa Qadar kembali kepada sifat Ilmu.
Ketujuh, Asya’irah berpendapat bahawa para nabi lebih
mulia daripada para malaikat. Dan para malaikat lebih mulia daripada manusia
selain nabi. Bertentangan dengan pendapat Maturidiyah yang mengatakan bahawa
para Rasul dalam kalangan manusia lebih mulia daripada para rasul dalam
kalangan malaikat. Manakala, para rasul malaikat lebih mulia daripada manusia
secara umum (selain rasul). Dan para manusia selain rasul lebih mulia daripada
malaikat secara umum.
Kelapan, Asya’irah mengatakan bahawa taubat tidak
akan diterima pada waktu ghargharah (saat nyawa dicabut) dan pintu taubat akan
ditutup apabila matahari terbit pada arah Barat. Maturidiyah pula mengatakan
bahawa taubat orang kafir yang tidak diterima secara khusus, tetapi taubat
orang yang beriman yang melakukan maksiat masih dapat diterima.
Kesembilan, Asya’irah berpendapat bahawa sifat Maani
ada tujuh. Namun, Maturidiyah menambah satu lagi sifat Maani, iaitu Takwin, dan
jumlah menjadi lapan.
Kesepuluh, Asya’irah mengatakan bahawa sifat
perbuatan (fi’il) merupakan kejadian yang baharu. Ini berbeza dengan
Maturidiyah yang menegaskan bahawa sifat perbuatan (fi’il) Allah
merupakan sifat yang Qadim (Bukan Baharu) dan berdiri dengan
zat Allah.
Terakhir, Asya’irah menegaskan bahawa wajibnya
mengenali Allah (Makrifatullah) melalui hukum Syarak dan disyaratkan
juga penyertaan akal. Sebaliknya, Maturidiyah berpendapat bahawa kewajipan
mengenali Allah (Makrifatullah) adalah dengan akal.
Demikianlah perbezaan antara Asya’irah dan
Maturidiyah. Dan perbezaan ini tidak membuat keduanya terkeluar daripada mazhab
Ahli Sunnah, kerana perbezaan mereka disandarkan pada dalil yang dapat
dipastikan kehujahannya. Oleh itu, semoga kedua aliran ini sentiasa berganding
bahu dan berusaha membela mazhab Ahli Sunnah demi menjaga kemurnian agama
Islam.
Wabillahi taufiq wal hidayah. Wassalaamu ‘alaikum warahmatullahi
wabaarakatuh.
Rujukan:
1) Hidayatul Murid ila Jauharit Tauhid. Syeikh Bakri Rejab.
2) Aqidatun Najin. Zainal Abidin Muhammad al-Fatani.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan